Saturday, March 16, 2013

Strategi Bisnes


Bagaimana kalau seorang usahawan itu masih tidak tahu hala tujuan? Tidak sempat membaca begitu banyak buku strategi tentang bisnes? Jika sempat membaca, tidak sempat memahami dan bereksperimen?


Usahawan boleh mendapatkan khidmat strategist yang menguasai ilmu strategi. Strategist bertindak sebagai mapmaker yang membaca landskap sekeliling dan mencadangkan laluan yang bersesuaian.


Lebih baik lagi, ada strategist yang membaca dan menghadam buku-buku manifesto yang abstrak. Pemahaman terhadap buku-buku sebegini memberi keupayaan kepada strategist untuk membaca bahawa landskap sekeliling akan berubah. Ada bukit yang akan runtuh, ada sungai akan beralih arah dan ada tasik yang akan kering.


Masyarakat Asia mempunyai sejarah yang panjang dalam penggunaan khidmat strategist. Zhuge Liang direkrut oleh Liu Bei pada umur 26 tahun. Walaupun Liu Bei memunyai kekurangan sumber material dan status sosial berbanding pencabar lain, beliau akhirnya menjadi Maharaja Empayar Shu Han.



Antara jalan utama menguasai strategi bisnes adalah melalui pembacaan yang luas. Terdapat banyak strategi yang digunakan dalam dunia bisnes. Mazhabnya pula berbeza-beza. Ada yang mengatakan bisnes adalah bakat, ada pula yang mengatakan skil bisnes boleh diajar.

Strategi juga terbahagi kepada banyak bahagian:
1.             Inovasi
2.             Marketing
3.             Pengurusan
4.             dan lain-lain...



Membaca buku-buku bisnes sebenarnya tidak sekadar 1+1=2. Semakin banyak membaca, buku-buku itu saling mengukuhkan pemahaman dan memberi perspektif baru. Oleh itu, pakar strategi tidak akan mudah sangkut apabila berhadapan dengan cabaran.

Membaca buku sahaja tidak cukup kerana selalunya buku lebih banyak mengandungi kes-kes lama dan teori berbanding praktikal. Majalah seperti Inc memberi tambahan kajian kes pengalaman para usahawan dalam pelbagai bidang.


Lebih penting lagi adalah bereksperimen dengan strategi-strategi yang dipelajari. Pengalaman praktikal tidak kira besar atau kecil akan memberi pemahaman berkali-kali ganda berbanding sekadar membaca. Namun sekadar berekseperimen tanpa membaca dahulu apa yang dieksperimen juga tiada gunanya!

Tips adalah adalah trik atau 'hint' dalam melaksanakan sesuatu taktik. Jika strategi adalah pandangan keseluruhan dan taktik sebagai laluan spesifik, tips pula ada jalan pintas atau shortcut atau rahsia bagi laluan tertentu.

Sebagai contoh, strateginya adalah Permission Marketing dan taktiknya adalah menggunakan borang Google Docs. Tipsnya adalah mengaktifkan data validation bagi memastikan emel yang dimasukkan adalah sah. Jika emel tidak sah, pengguna tidak dapat submit borang tersebut.

Tips ini tidak terapakai bagi taktik lain seperti menggunakan Aweber kerana fungsi ini memang sudah sedia diaktifkan. Strategi lain yang tidak mengumpulkan data prospek juga tentu sekali tidak relevan dengan tips ini.

Ramai yang obses mencari 'rahsia-rahsia' ini tanpa memikirkan taktik apa pun yang hendak digunakan. Mereka percaya inilah yang diperlukan untuk mencapai kejayaan sedangkan sekadar mengumpul tips tidak memberi arah yang jelas dalam bisnes.

Ramai yang mengaku pakar sebenarnya hanya menabur tips kepada audien dari atas pentas. Mereka ini ibarat memberi nasihat sekiranya terjumpa ular di tengah jalan harus ditangkap supaya dapat dijual di akhir perjalanan. Nasihat diberi tanpa mengira bahawa bukan semua ular berharga untuk dijual. Lebih bahaya lagi, banyak ular yang tidak patut diganggu langsung kerana sekali patuk pantas mengundang maut!




Strategi adalah ilmu mencerap keadaan sekeliling dan membuat rancangan. Pakar strategi dapat menganalisa keadaan semasa dan memilih jalan yang paling sesuai. Mereka yang menggunakan strategi dapat mengenalpasti peluang dan halangan serta beberapa pilihan pendekatan.


Taktik pula langkah atau teknologi spesifik dalam melaksankan sesuatu rancangan strategik. Mereka yang mengikut taktik semata-mata terpaksa meniru langkah demi langkah setiap simpang. Jika tidak mereka akan mati akal dan sesat. Mereka yang bermain dengan strategi pula dapat memilih simpang lain mengikut keadaan.

Sebagai contoh, katakan seorang usahawan memilih untuk menggunakan strategi Permission Marketing. Objektif strategi ini adalah untuk mengumpul data prospek supaya dapat terus berhubung dan akhirnya menjual. Terdapat banyak taktik yang boleh digunakan dalam melaksanakan strategi ini antaranya menggunakan blog, Google Docs dan Aweber. Usahawan yang mensasarkan kurang daripada 500 orang tahu dia cukup dengan Google Docs dan tidak memerlukan Aweber.

Usahawan yang hanya tahu taktik menggunakan Aweber pula akan terus menggunakan aplikasi tersebut walaupun sebenarnya tidak sesuai dengan keperluannya. Apabila mereka tidak berjaya mengumpul pelanggan, mereka menyalahkan aplikasi walaupun sebenarnya strategi mereka salah. Usahawan tersebut mungkin tidak menyediakan umpan yang cukup bagus untuk menarik pelanggan.



Strategi memberi keupayaan untuk mencerap keadaan sekeliling dan memilih kaedah apa yang paling baik. Sebagai contoh, seseorang itu boleh ke gunung satu lagi melalui jalan darat, air atau udara.  Setelah memilih kaedah pengangkutan, laluan sebenar pula boleh ditentukan sendiri. Mereka yang menguasai strategi boleh melakar peta sendiri.

Mereka yang bergantung kepada taktik pula sebenarnya bergantung kepada peta orang lain. Peta tersebut telah menunjukkan dengan jelas jalan mana yang pernah digunakan. Namun, lama-kelamaan peta mungkin sudah lapuk atau keadaan jalan sudah berubah. Mereka yang bergantung kepada peta orang lain akan buntu sekiranya peta tidak lagi boleh digunakan.

Lebih buruk lagi, mereka tidak faham mengapa jalan itu yang dipilih menyebabkan mereka tidak dapat memilih jalan yang sesuai dengan keupayaan diri. Mengapa perlu memilih jalan darat sekiranya seseorang itu sebenarnya pandai berenang dan mempunyai bot laju?

Mereka yang menguasai strategi bukan sahaja menguasai pelbagai kaedah malah dapat memikirkan kaedah baru. Sebagai contoh sekiranya hanya satu ayat yang perlu dihantar tidak perlulah bersusah-payah mendaki gunung menghantar surat; cukuplah dengan isyarat asap untuk menyampaikan mesej. Namun mereka yang hanya mengikut peta tetap akan meredah jalan paling sukar!

No comments:

Post a Comment